KUALA NERUS, 31 DISEMBER 2024 - Pada tahun ini, Terengganu sekali lagi menyerikan malam Ambang Tahun Baharu dengan program keagamaan bagi menyambut tahun 2025 dengan penuh keberkatan di Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Seawal jam 6.30 petang, pelbagai aktiviti kerohanian telah dijalankan, bermula dengan alunan zikir, seterusnya disambung dengan sesi munajat, bacaan Yaasin, solat hajat dan tausiyah bersama Mufti Terengganu.
Seterusnya, pengisian keagamaan disambung dengan sesi taranum, selawat, slot bersama pempengaruh terkemuka antaranya Dato’ Azizulhasni, Nur Hidayah, Qabil, Geng Qabil, Dr Azizul dan Dr Zetty dan pidato oleh Adik Amatullah Hamidah Lukman Hakim.
Program tersebut diserikan lagi dengan forum “Bicara Murabbi” Indahnya Hidup Bersyariat dikendalikan oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator dan Ustaz Azhar Idrus sebagai ahli panel.
Kemuncak program, Amanat Tahun Baharu disampaikan oleh YB Dato' Haji Mohd Nor Bin Hamzah, Yang Dipertua Dewan mewakili YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.
Tepat jam 12.00 malam, bacaan doa, Asma’ul Husna dan selawat, serta kibaran bendera Terengganu menandakan masuknya tahun baharu 2025.