KUALA TERENGGANU, 30 DISEMBER 2024 - Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Dato' Nara Setia melafazkan syabas dan tahniah kepada 20 orang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan Oktober, November dan Disember di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.
Di dalam perhimpunan tersebut, beliau turut memaklumkan kepada kakitangan WDI berkenaan Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan serta Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan berharap agar kakitangan WDI dapat bekerjasama dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, cekap, dinamik, inovatif dan paling utama berfokuskan kepada rakyat.
“Dalam usaha meningkatkan keberkesanan dan kualiti perkhidmatan awam, Konsep 5P iaitu People, Process, Purpose, Performance dan Progressive perlulah dijadikan panduan dan diterapkan ke dalam gerak kerja seharian penjawat awam,” beliau menegaskan dalam ucapan beliau selain turut menekankan konsep 3S iaitu Speed (Kecepatan), Simplified (Memudahcara) dan Satisfied (Kepuasan).
Akhir kata, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 dan menyeru agar semua kakitangan WDI menyambut tahun baharu dengan azam dan semangat baru.