KUALA TERENGGANU, 8 Julai 2024 - Terengganu muncul negeri yang menghantar penyertaan tertinggi dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) apabila 22 jabatan menyertai anugerah tersebut pada tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja berkata, komitmen itu merupakan satu kebanggaan kepada semua dan merupakan satu manifestasi bahawa Kerajaan Negeri Terengganu amat mengambil serius mengenai integriti serta pencegahan rasuah di jabatan-jabatan dalam Terengganu.
"Tahniah saya ucapkan kepada semua jabatan yang telah menerima penganugerahan Perak, Gangsa mahupun sekadar menyertai bagi mendapatkan pengalaman bagaimana penilaian AIGA dilaksanakan," katanya.
YBM Tengku berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar, WDI, di sini, hari ini.
Di majlis itu turut meraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu di atas kejayaan menerima penarafan lima bintang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2023 dan Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh beliau, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri Terengganu.
"Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua urus setia induk dan urus setia setiap bahagian yang terlibat dalam pelaksanaan Anugerah Keselamatan dan Perlindungan (AKKP) anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
"Pertama kali Pejabat SUK Terengganu memenangi tahap Cemerlang dan Anugerah Perdana dalam kategori Pejabat SUK/Pejabat Ketua Premier Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.
Pada majlis tersebut turut mengiktiraf 20 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai bahagian dan unit di WDI bagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan selepas menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang April hingga Jun 2024.
YBM Tengku turut mengucapkan penghargaan kepada bekas Pengarah Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YM Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah yang telah bertukar ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.
Sementara itu, bagi menghargai komitmen yang telah diberikan, Pejabat SUK turut memberikan pengiktirafan berupa sijil penghargaan Anugerah Pengurusan Aduan Awam Cemerlang kepada agensi yang berjaya menyelesaikan aduan yang diterima dalam tempoh ditetapkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Tempat pertama dianugerahkan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan diikuti Bahagian Khidmat Pengurusan (kedua) dan ketiga kepada Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat.