KUALA TERENGGANU, 29 Jun 2024 - Majlis Makan Malam Gala sempena Perasmian Penutup Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar, di sini, malam tadi disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, YB Dato' Razali Idris.
Untuk rekod, program TIBW 2024 turut disertai pelbagai booth pameran daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Rejimen 512 AW, semua pejabat daerah, muzium dan agensi-agensi yang mengetengahkan kebudayaan negeri.
Terdapat juga persembahan kesenian daripada daerah-daerah, persembahan aksi profesional dari Kuala Lumpur dan Indonesia, persembahan "Colours of Malaysia" (tarian kebudayaan di Malaysia), wayang kulit dan dikir barat.
Selain itu, pelbagai aktiviti keagamaan dan kerohanian turut dianjurkan dalam program kali ini seperti Solat Hajat dan Maulid Akbar, TIBW Berselawat bersama Ustaz Syed Abdul Matyn Al-Aydrus, Sembang Santai Bersama Ustaz Azhar Idrus termasuk sumbangan MAIDAM kepada asnaf serta kutipan derma untuk anak yatim dan anak kurang upaya.