Amanat Tahun Baharu YBM SUK
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia (YBM), Tengku Seri Bijaya Raja meminta supaya pegawai dan agensi kerajaan bergerak sebagai satu pasukan dalam usaha untuk mencapai sasaran pemulihan yang lebih baik pada tahun 2022.
“Kita tidak boleh bertindak secara silo antara Kementerian dan Jabatan. Malah, di peringkat negeri dan daerah juga, para pegawai mesti bergerak aktif dan proaktif dengan saling berinteraksi bagi mendapatkan pandangan serta membuat keputusan yang terbaik demi manfaat dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
YBM Tengku berkata demikian sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini (9 Januari 2022).
Turut hadir, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Haji Zainal Abidin Mohamed; YBhg. Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Tuan Haji Shahidan Embok dan YH Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Hadir sama, ketua-ketua jabatan negeri dan juga persekutuan.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan supaya agensi kerajaan negeri dan persekutuan tidak berpecah belah.
“Tidak boleh ada sentimen, ini agensi negeri atau ini agensi persekutuan sama ada di peringkat negeri atau daerah. Tetapi, kita mesti bersatu sebagai kakitangan awam dan agensi penggerak di Negeri Terengganu ini. Semua agensi negeri atau persekutuan adalah bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat Negeri Terengganu.
“Apabila tuan-puan berkhidmat di Terengganu maka berilah sepenuh jiwa dan raga tuan-puan kepada negeri Terengganu, sama ada agensi pembuat dasar, agensi pembangunan fizikal,” kata YBM Tengku lagi.
Selain itu juga, menurut beliau, pentadbir di agensi pembasmian kemiskinan dan agensi perkhidmatan pula perlu mendapatkan peruntukan-peruntukan khas melalui kementerian masing-masing demi Negeri Terengganu (walaupun bukan berasal dari Terengganu).
Tambah beliau lagi, jangan ada di kalangan pegawai dan kakitangan yang bersifat berpuak-puak mengikut negeri, agama atau bangsa.
“Saya mengambil contoh, dalam pengurusan bencana yang melibatkan semua agensi negeri dan persekutuan seperti mana Arahan MKN 20.
“Setiap jabatan respon di negeri dan daerah perlu khatam arahan ini agar tidak berlaku masalah dalam komunikasi menguruskan krisis dan penyaluran bantuan,” jelas beliau lagi.