KUALA TERENGGANU, 10 FEBRUARI 2025 - Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu mencemar duli memulakan hari pertama tugas sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tingkat 13, Wisma Darul Iman, hari ini.
Baginda yang segak mengenakan sut kelabu dan tali leher merah itu berangkat ke Pejabat Menteri Besar bagi membincangkan urusan pentadbiran negeri.
Sejurus kemudian, baginda berangkat pula ke Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 17 untuk Taklimat Ringkas Pentadbiran Negeri. Taklimat tersebut dipersembahkan oleh Yang Berhormat Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Terengganu.
Selepas berakhir sesi taklimat, baginda berangkat ke Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Tingkat 13 yang diiringi Setiausaha Kerajaan Terengganu beserta pegawai kanan kerajaan. Sesi mengimbas perakam waktu menjadi simbolik permulaan tugas baginda sebagai Pegawai Tadbir Negeri.
Kehadiran baginda disambut dan diraikan pegawai-pegawai serta kakitangan pejabat berkenaan.
Untuk makluman, baginda akan menjalani Program Penempatan/ Attachment Di Jabatan-Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu sebanyak empat sesi bermula dengan penempatan di Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sehingga 31 Julai 2025, diikuti dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus (PDTKN) mulai 1 Februari hingga 31 Julai 2026, sebelum diakhiri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Januari 2027.