KUALA NERUS, 3 JANUARI 2024 - Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menyampaikan Anugerah INOVASI23 kepada Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu di fakulti itu, hari ini.
Anugerah itu disampaikan Dekan FPP, Profesor Madya Dr. Mazuri Abd. Ghani.
Unit Korporat yang diketuai Ketua Penolong Setiausaha (Korporat), Encik Hilman Hajijan berjaya memperoleh pingat emas bagi projek inovasi bertajuk 'TROVE' (Terengganu Innovation Management System) di International Business Innovation & Ideas Competition 2023 (INOVASI23) pada 5 Disember 2023 lalu.
TROVE menjadi satu-satunya kumpulan yang mewakili kerajaan negeri bagi kategori penyelidik/profesional dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia yang dihoskan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UniSZA itu.
Pertandingan yang menerima kira-kira 200 penyertaan daripada pelbagai agensi yang melibatkan beberapa negara itu memberi tuah kepada TROVE muncul sebagai pemenang tiga terbaik Anugerah Emas.
TROVE yang merupakan sistem pendaftaran Pertandingan Kumpulan Inovasi Dan Kreativiti (KIK) yang dibangunkan bersama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) bagi memudahkan urusan pendaftaran peserta pertandingan KIK di peringkat negeri ini.
Sistem yang diguna pakai sepenuhnya oleh Unit Korporat selaku urus setia induk Pertandingan KIK turut menjimatkan penggunaan kertas dan masa sekitar 40 peratus berbanding amalan sebelum ini.