Mazlan Ngah Bersara Hari Ini Selepas 36 Tahun Dalam Perkhidmatan Awam Negeri

Ditulis pada .

DSC_7922

Dato’ Mazlan Ngah yang diberi mandat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak Januari 2010 mengakhiri perkhidmatannya hari ini, selepas 36 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam negeri.

Harapan cukup besar disandarkan kepada penggantinya, Dato’ Osman Muda agar meneruskan agenda kepimpinan negeri melalui gagasan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang menjurus kepada amalan ‘Terengganu Terbersih’ dan kerja secara berpasukan dalam pentadbiran negeri.

Katanya, penjawat awam merupakan jambatan penghubung antara kerajaan, pemimpin dan rakyat di mana tidak pernah putus walaupun selepas seseorang itu bersara .

“Sebagai penjawat awam yang diberikan kepercayaan dan tanggungjawab dalam menggalas jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, kesetiaan kita kepada Raja, negara tidak boleh berbelah bahagi.

“Ini merupakan perkara asas dan utama dalam memastikan kredibiliti kita sebagai penjawat awam tidak terjejas dan segala dasar kerajaan boleh dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

DSC_7914

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memetik punch card buat kali terakhir, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Mazlan memberitahu, selepas bersara beliau tetap akan menyumbangkan tenaga dalam memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Alumni SMK Sultan Sulaiman dan Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu.

Beliau yang berasal dari Kampung Sungai Udang, Dungun dikurniakan lima orang cahaya mata, anak sulung Mailatulsyisma, 33, diikuti Mohd Azizul Hakim, 30, Najibah Wajihah, 27, Muhammad Adib Thaqif, 23 dan paling bongsu Muhammad Arif Zakwan, 19, hasil perkongsian hidup bersama isteri, To’ Puan Rohani Abdullah.

Ihsan dari Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Dato’ Mazlan Ngah mengakhiri perkhidmatannya hari ini, selepas 36 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam negeri – Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail

PSUKT JOHAN PENGURUSAN REKOD TERBAIK PERINGKAT KEBANGSAAN BAGI TAHUN 2014

Ditulis pada .

 

Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (PSUKT) telah melakar sejarah apabila dianugerahkan sebagai johan dalam Penghargaan Pengurusan Rekod Terbaik Peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan Pejabat Setiausaha Persekutuan (PSUP) bagi Tahun 2014. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg Encik Azmi bin Abdul Azmi, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia pada 4 Disember 2014 yang lalu dalam satu majlis yang diadakan di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur bersempena Sambutan Ulang Tahun Arkib Negara Ke-57 yang disambut pada 1-5 Disember 2014.

Penilaian telah dibuat di semua PSUK dan PSUP di seluruh Malaysia bermula November yang lalu yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada PSUK dan PSUP yang telah melaksanakan tadbir urus rekod terbaik. Dalam majlis yang sama, PSUK Pulau Pinang telah dinobatkan Naib Johan manakala PSUK Kedah di tempat  yang ketiga.

Pejabat SUK Terengganu Lancar Kod Etika dan Tatakelakuan

Ditulis pada .


20141102_113104

Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (PSUKT) mengambil inisiatif melancarkan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi memperkasa tadbir urus yang baik dan berintegriti di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, bermandatkan Transformasi Terengganu Baharu, pelancaran kod berkenaan bertujuan untuk memastikan kelakuan warga kerja PSUKT semasa dan selepas bertugas adalah selaras dengan kehendak undang-undang dan peraturan-peraturan perkhidmatan awam semasa.

“Buku Kod Etika dan Tatakelakuan ini menggariskan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh warga kerja PSUKT antaranya kehadiran bertugas, etika berpakaian dan juga kerahsiaan maklumat.

20141102_113033

“Ia turut menggariskan 10 inisiatif anti-rasuah dan dua daripadanya akan dilaksanakan dalam waktu yang terdekat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI), di WDI, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, pembudayaan 10 inisiatif anti-rasuah yang digariskan di dalam Kod Etika dan Tatakelakuan dilihat sebagai satu langkah tepat menjamin komitmen jangka panjang PSUKT dalam merealisasikan budaya pencegahan rasuah secara tegas dan menyeluruh.

 

Ihsan dari : Unit Komunikasi Neger Terengganu