Tiga Soalan Kepada Penjawat Awam

Ditulis pada .

Tiga Soalan Kepada Penjawat Awam

 
YB Dato' Setiausaha Kerajaan bersama jemputan ketika tiba di Sungai Tarom, Setiu semalam -ihsan gambar dari Unit Komunikasi Negeri Terengganu

 

Kepimpinan tertinggi negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda memilih Setiu sebagai daerah perintis bagi program lawatan kerja dan turun padang menemui penjawat awam di peringkat akar umbi.

Lawatan itu juga bersempena program Majlis Tilawah al- Quran Peringkat Negeri Terengganu, yang berlangsung di Stadium Mini, Sungai Tarom Setiu, bermula malam tadi.

Osman ketika berucap turut mengajukan tiga soalan kepada penjawat awam sebagai menguji sejauh mana mutu dan kualiti perkhidmatan awam sehingga kini.

“Syabas kepada Tuan pegawai Daerah Setiu bersama barisan urusetia kerana telah berjaya menyelaras dan mengumpulkan lebih dari 1,000 orang penjawat awam untuk hadir bersama-sama barisan kepimpinan pentadbiran negeri.

“Namun yang demikian, kepada hampir 1,000 penjawat awam yang berada di hadapan saya, terdapat tiga persoalan yang ingin saya tanyakan di sini iaitu;

1. Di atas kapasiti anda sebagai penjawat awam, adakah anda telah memberikan hasil kerja terbaik dalam membina sebuah negeri yang cemerlang?

2. Adakah anda telah dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan khusus serta adakah pengalaman kerja anda mampu menjadikan anda seorang penjawat awam yang bernilai sebagai aset kerajaan?

3. Adakah anda berusaha untuk melaksanakan kerja yang diarahkan dengan hasrat memberi faedah yang besar kepada rakyat selaku pelanggan utama?

“Pertanyaan itu bukan bermaksud memberi provokasi namun inilah realiti cabaran pada masa kini di sektor awam yang harus dilalui oleh semua penjawat awam tanpa mengira pangkat, tempat dan juga personaliti,” katanya di Majlis Bersama SUK Terengganu Dengan Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Daerah Setiu, di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu, semalam.

Turut hadir sempena lawatan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail;  Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Mohamad Nor Ibrahim;  Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan),  Samiun Salleh dan Pegawai Daerah Setiu, Talaha Ali.

Tambah beliau, cabaran yang sedang dihadapi kini selaku penjawat awam tidak terhad kepada apa yang berada di depan mata sehari-hari, namun ia lebih daripada itu.

Katanya, cabaran juga melibatkan perubahan-perubahan polisi,  tekanan fiskal ,  kehendak dan ekspektasi yang tinggi daripada rakyat serta keperluan kepada sektor awam itu sendiri bagi memenuhi tuntutan prestasi yang tinggi.

SUK Terengganu Nekad Galas Harapan `Stakeholder’

Ditulis pada .

 

Dato’ Osman menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI) 2015, di Dewan Besar WDI, hari ini. Foto Oleh Harish Fadzilah

 

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjanji untuk menggalas tugasan yang baharu bermula sejak 1 Januari lalu dengan penuh amanah dan komited bersandarkan harapan tinggi daripada `stakeholder’ (pihak berkepentingan), iaitu penjawat awam dan rakyat Terengganu serta cabaran bagi memastikan penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Dato’ Osman Muda berkata, segala cabaran dan permasalahan yang timbul akan diselesaikan dengan kerjasama semua pegawai tadbir serta kakitangan kerajaan agar  komposisi pentadbiran kerajaan negeri sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Saya percaya, tugas baharu saya ini tidak semudah yang disangka kerana pasti ada cabaran yang bakal ditempuhi kelak untuk menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Bagaimanapun, dengan sokongan dan kerjasama semua pegawai dan tuan-puan sekalian, insha-Allah ianya dapat dihadapi dengan  lancar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI) 2015, di Dewan Besar WDI, hari ini.

Hadir sama,  Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Mohd Nor Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh.

Dalam pada itu, beliau tidak lupa menzahirkan ucapan terima kasih terhadap mantan SUK terdahulu, Dato’Mazlan Ngah berikutan banyak jasa dan khidmat bakti yang pernah disumbangkan sepanjang menerajui pentadbiran negeri sebelum ini.

1

Barisan kepimpinan pentadbiran negeri di Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman (WDI) 2015, di Dewan Besar WDI, hari ini.

 

Tambah beliau, perjumpaan pertama dengan penjawat awam di WDI selaku pusat pentadbiran negeri  dengan menekankan konsep ‘Transformasi Perkhidmatan Awam Negeri  :  Kecil Bagi Kita, Besar Bagi Rakyat’, amat penting bagi menentukan arah serta hala tuju penjawat awam negeri.

Katanya, sebagai pusat pentadbiran yang menjadi nadi utama pembangunan sesebuah negeri, baik dari segi perancangan, pelaksanaan, kewangan dan pencetus dasar-dasar Kerajaan, WDI  sudah melalui pelbagai pembaharuan sama ada dari segi kepimpinan dan juga perubahan dasar.

“Di sini telah berlaku berbagai-bagai perubahan samada perubahan kepimpinan atau perubahan dasar, malah pahit maung penjawat awam dan kerajaan negeri sendiri.

“Oleh itu untuk melihat perubahan berlaku samada berjaya atau tidak, kita warga kerja Wisma Darul Iman perlu memainkan peranan yang penting. Tindak tanduk kita di sini menjadi satu tanda aras kejayaan kakitangan  kerajaan negeri,”katanya.

Dalam tempoh itu juga, menurut beliau pelbagai kejayaan yang diraih Pejabat SUK dan kerajaan negeri sendiri yang membuka mata ramai pihak untuk mengiktiraf dan mencontohi kecemerlangan berkenaan.

Antara kejayaan terbaharu adalah pembentangan Belanjawan 2015  yang membentangkan bajet  inklusif dan menyeluruh, selain negeri terbaik  dalam pengurusan bencana banjir dan menerima  `The Gold Standard’  serta mendapat pujian daripada Perdana Menteri.

Osman Muda Dilantik SUK Terengganu Yang Baharu

Ditulis pada .

DSC_7108

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Osman Muda dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2015.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, Osman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menggantikan beliau yang bersara pada 31 Disember 2014.

Sementara itu kata beliau, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri berkuatkuasa tarikh yang sama.

Mazlan telah mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di Wisma Darul Iman.