Lebih 20,000 MERIAHKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Ditulis pada .



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berkenan ke majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. 

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu disambut meriah dengan mencatat rekod penyertaan luar biasa lebih 20,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 794 organisasi.

Kesemua mereka terdiri daripada 288 kontinjen mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), syarikat swasta (12), pasukan beruniform (6), sekolah dan institusi pengajian tinggi (40), jabatan kerajaan persekutuan (28) dan jabatan kerajaan negeri (23).

Turut serta, badan bukan kerajaan (NGO) dan tadika kanak-kanak seramai 397 kontinjen.

Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Dataran Shahbandar ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Haji Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Terdahulu, Dato’ Haji Mazlan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dalam ucapannya menyeru rakyat terutama golongan muda supaya mencontohi kejayaan Nabi Muhammad dalam melahirkan sebuah tamadun yang hebat.

Beliau berkata, dalam hubungan ini kerajaan negeri sedang berusaha melahirkan generasi pemimpin masa depan mengikut ajaran Islam sebenar.

“Kita harus menjadikan Nabi Muhammad sebagai model dan personaliti pemimpin agama dalam melahirkan generasi muslim yang berjaya,” katanya.

Pada majlis tersebut, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang yang menyertai pelbagai acara yang diadakan sempena sambutan itu.

Turut berangkat ke majlis, Sultanah Nur Zahirah.

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan menulis, pidato, menulis khat, mewarna, menulis sajak dan syair peringkat sekolah menengah, rendah dan institusi pengajian tinggi.
Turut menerima hadiah, pertandingan keceriaan dan kebersihan tanah perkuburan yang diungguli Kampung Gong Terap, Setiu di tempat pertama, Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu (Kedua) dan Kampung Guntung Luar, Setiu (Ketiga).

Pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000 (Kedua) dan RM2,000 (Ketiga) serta sijil penghargaan.

Bagi pertandingan perarakan, Yayasan Islam Terengganu memenagi Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri, Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan (Jabatan Pelajaran Negeri), Kategori Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin).

Bagi Kategori Pasukan Beruniform dimenagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kategori Syarikat Swasta (Petronas Wilayah Pantai Timur) dan Kategori JKKK (JKKK Kampung Undang).

Setiap pemenang memperolehi wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan.

STAMINA PELENGKAP KONSEP S KE-50 AMALAN PENJAWAT AWAM

Ditulis pada .

wdi1 Silaturahim, sistematik, sohor, sokmo, sokongan, soleh, sopan, spontan, `sporting’ dan stamina merupakan 10 lagi konsep S yang baru diperkenalkan kerajaan negeri sebagai teras amalan di kalangan penjawat awam dalam usaha membawa transformasi kepada sektor itu.

“Penambahan 10 S daripada 40 S sebelum ini selaras dengan pembaharuan yang harus dilaksanakan semua penjawat awam,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, silaturrahim membawa maksud setiap pegawai dan kakitangan harus sentiasa merapatkan hubungan dan ukhwah serta menjalinkan persahabatan yang harmoni, manakala sistematik menjalankan kerja secara tersusun dan teratur.

Katanya, sohor pula memerlukan setiap penjawat awam menghasilkan kerja yang mampu diterima ramai dan mendapat pengiktirafan, selain `sokmo’ iaitu mengulangi sesuatu amalan atau kerja dengan kerap kali bagi mencapai tahap dikehendaki.

Konsep S yang seterusnya, sokongan iaitu setiap penjawat awam perlu saling memberi penghargaan dan perangsang sesama rakan sejawat atau kepada pekerja bawahan supaya dapat meningkatkan moral serta semangat dalam menjalankan tugas.

Manakala S ke-46 ialah soleh yang memerlukan setiap penjawat awam patuh pada arahan ketua, spontan pula kakitangan perlu sentiasa bersedia dan melakukan kerja serta-merta tanpa menunggu arahan semata-mata bagi melancarkan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

“S yang ke-49 adalah `sporting’, di mana penjawat awam perlu berfikiran terbuka, cergas dan tangkas setiap masa. S terakhir, stamina yang memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan fizikal dalam melaksanakan setiap amalan seharian,”katanya.
Sementara itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober lalu.
wdi2
Antara penerima anugerah itu ialah pembantu tadbir Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Encik Zulkifli Hashim; Puan Latifah Jusoh pembantu tadbir (Bahagian Agama dan Penerangan), Abu Bakar Abdullah (Khidmat Pengurusan); Encik Ahmad Fadzir Jusoh (Pejabat Menteri Besar); dan Cik Wan Mariam Muhamad pembantu tadbir di Pejabat Kerajaan Tempatan.


LAWATAN YB SETIAUSAHA KERAJAAN KE KONTI HOT FM T'GANU

Ditulis pada .

wt_02.1Hot FM dalam usaha mengukuhkan jenamanya dan meraih lebih ramai kelompok pendengar Pantai Timur terutama golongan muda, telah memulakan siaran di Terengganu bermula 2 Januari 2012 melalui frekuensi 105 FM.
YB Dato' Haji Mazlan bin Ngah, Setiausaha Kerajaan mencuba menjadi deejay ketika melawat konti Hot FM di Jalan Pejabat, Kuala TerengganuYB Dato' Haji Mazlan bin Ngah, Setiausaha Kerajaan mencuba menjadi deejay ketika melawat konti Hot FM di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mazlan bin Ngah yang meninjau operasi stesen itu hari ini berkata, kerajaan negeri menyambut baik kewujudan stesen itu kerana ia akan memberi lebih pilihan kepada pendengar di negeri ini

Sidang akhbar bersama YB Dato' Setiausaha Kerajaan TerengganuSidang akhbar bersama YB Dato' Setiausaha Kerajaan Terengganu

Beliau juga berharap agar Hot FM T'Ganu ini sedikit sebanyak akan membantu kerajaan negeri dalam menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan negeri ini dan juga yakin dengan adanya Hot FM T’Ganu ini, ia dapat menyerlahkan keunikan loghat negeri ini yang sememangnya berbeza dengan negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, beliau menolak andaian bahawa kewujudan stesen baru ini akan memberi saingan kepada stesen radio tempatan iaitu Terengganu FM (TFM) dan Manis FM milik kerajaan negeri.