SULTAN IBRAHIM KURNIA 103,000 UNIT KHEMAH BENCANA BERNILAI RM19 JUTA KEPADA SELURUH NEGARA

Ditulis pada .

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia.

Khemah kubik kurniaan Baginda Tuanku Sultan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

DYAM Tunku Ismail berangkat sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (13 September).

Setiap negeri mendapat lebih 5,000 unit khemah yang telah disampaikan oleh YSIJ.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBM Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Dato’ Avinderjit Singh, berkata DYMM Sultan Johor mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negeri untuk kegunaan mangsa-mangsa sewaktu bencana banjir.

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya.

Sumber : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

 

BENGKEL SISTEM PEMANTAUAN LAMAN WEB DAN SERVIS KERAJAAN (SPLASK)

Ditulis pada .

BENGKEL Sistem Pemantauan Laman Web dan Servis Kerajaan (SPLASK) disertai 20 jabatan dan agensi di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu berlangsung tiga hari, mulai hari ini (12 September 2022).

Seramai 30 peserta di kalangan pengendali laman web menyertai bengkel yang diuruskan Unit Korporat bersama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat, di Altfa Technologies Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor itu.

Bengkel bertujuan mengenal pasti tatacara penandaan dalam templat laman web agensi bagi membolehkan SPLASK yang dibangunkan oleh Pihak MAMPU dapat mengakses laman web dan menilai tahap pematuhan laman web agensi berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan secara dalam talian.

 

KUNJUNGAN HORMAT PUSAT LATIHAN DARUL IMAN (DITC)

Ditulis pada .

SETIAUSAHA Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja menerima kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Latihan Darul Iman (DITC), di Tingkat 15, Wisma Darul Iman, hari ini (7 September 2022).

Pertemuan diketuai Pengerusinya, YBhg. Hazri Jusoh dan turut disertai Prof. Madya Dr. Haji Wan Mat Wan Sulaiman (Ahli Lembaga Pengarah) dan Encik Mohd Shuhaimi Embong (Ketua Pegawai Eksekutif).

Kunjungan itu antara lain bagi merapatkan hubungan silaturahim dan berkongsi idea bagi merealisasikan visi DITC sebagai pusat kecemerlangan latihan hibrid yang berkonsepkan hotel.

Untuk rekod, DITC yang dikelilingi persekitaran indah berhampiran Pantai Teluk Kalong, Kemaman merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang menyediakan infrastruktur untuk latihan dan seminar. Pusat latihan yang menyajikan pemandangan dan suasana segar serta nyaman kepada pengunjung dengan jarak hanya 13 kilometer daripada Bandar Chukai, Kemaman.