SULTAN IBRAHIM KURNIA 103,000 UNIT KHEMAH BENCANA BERNILAI RM19 JUTA KEPADA SELURUH NEGARA

Ditulis pada .

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia.

Khemah kubik kurniaan Baginda Tuanku Sultan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

DYAM Tunku Ismail berangkat sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (13 September).

Setiap negeri mendapat lebih 5,000 unit khemah yang telah disampaikan oleh YSIJ.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBM Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Dato’ Avinderjit Singh, berkata DYMM Sultan Johor mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negeri untuk kegunaan mangsa-mangsa sewaktu bencana banjir.

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya.

Sumber : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar