KSN RASMI KOMPLEKS SPRM TERENGGANU

Ditulis pada .

 

 

 

 

Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri Mohd Zuki Ali merasmikan Kompleks Baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bukit Besar, Kuala Terengganu,  hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Pengarah SPRM Terengganu,KPKPj Ruslan Che Amad.

Ketika berucap sempena perasmian itu, Tan Sri Mohd Zuki berkata, perkhidmatan awam merupakan tonggak utama yang berperanan untuk menggerakkan setiap pelaksanaan agenda dan inisiatif yang telah direncanakan oleh kerajaan.

Menurut beliau, dalam berdepan situasi sukar fasa pemulihan ekonomi negara, penjawat awam bersungguh-sungguh serta komited bagi memastikan setiap dasar dan strategi yang disusun kerajaan dapat diterjemahkan dengan jayanya. 

 

Katanya, hal berkenaan dibuktikan menerusi pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk  Global Covid-19 Recovery Index, sehingga Ogos 2020 yang telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-4 terbaik dalam kalangan 184 negara di dunia.

Begitu juga Indeks Toluna-Blackbox bagi Pengurusan Persepsi dan Krisis telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-5 berbanding 23 negara.  

Ini semua membuktikan kesungguhan dan komitmen penjawat awam dalam menterjemahkan strategi yang telah diatur oleh Kerajaan seperti inisiatif PENJANA dan PRIHATIN. Hasilnya, negara kita dapat melepasi fasa-fasa PKP sebelum ini dengan jayanya tanpa mencatatkan jumlah kes yang mendadak.