KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA TIMBALAN GABENOR BANK NEGARA

Ditulis pada .

KUALA TERENGGANU, 26 JULAI - Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md. Azahar hari ini menerima kunjungan hormat dari Timbalan Gabenor Bank Negara, Encik Marzunisham Omar, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Kunjung hormat yang berlangsung di di Bilik Tamu, Tingkat 15, Wisma Darul Iman bertujuan meneroka industri kewangan Islam dan sudut pematuhan syariah.

Sesi perbincangan yang berlangsung kira-kira satu jam turut membincangkan isu-isu dan inisiatif yang dapat ditawarkan oleh institusi perbankan.

Kerajaan Negeri Terengganu bersama Bank Negara turut komited untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat di masa akan datang bagi merealisasikan pelbagai inisiatif selaras dengan hasrat kerajaan di dalam memartabatkan masyarakat tanpa tunai.

Perancangan awal yang bakal dilaksanakan ialah menjana peniaga Pasar Kedai Payang ke arah masyarakat tanpa tunai kerana ianya akan memupuk ekonomi yang lebih cekap.

Ia merupakan agenda Bank Negara untuk menggalakkan penghijrahan institusi kewangan dan pengguna ke arah pembayaran elektronik bagi mencapai penjimatan kos dan faedah positif untuk sistem pembayaran di negeri ini.

Turut hadir, Encik Adlis Khairil Sazli (Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu), Encik Zulkifli Abu Talib (Pengurus Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu) dan Cik Aisyah Mat (Ahli Ekonomi).

Di akhir pertemuan, kedua-dua belah pihak saling bertukar cenderahati tanda kenangan. -Teks dan Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.